Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) faq

Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) merupakan inisiatif Kerajaan yang telah ditubuhkan pada 28 Ogos 2014. Majlis ini diketuai oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 serta dianggotai oleh Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Luar Negeri (KLN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Kementerian Pengangkutan (MOT), Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitimedia Malaysia (SKMM), Lembaga Tabung Haji (TH), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera (BUMITRA).

Terma rujukan MKSU adalah seperti berikut :

  • Menetapkan mekanisme pengawalseliaan pengendalian pakej umrah.
  • Merancang pelaksanaan kempen kesedaran kepada orang awam.
  • Memantau status penguatkuasaan dan siasatan ke atas kes-kes penipuan secara bersepadu.
  • Memantau pelaksanaan prosedur operasi piawai (SOP) yang disediakan oleh MATTA dan BUMITRA terhadap pengendalian pakej umrah.
  • Memantau pelaksanaan standard perkhidmatan syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan dalam mengendalikan pakej umrah.

Kerajaan amat komited dan merangka strategi bagi menangani isu berkenaan umrah kerana membabitkan soal agama dan kemasalahatan umat Islam. MKSU telah ditubuhkan untuk memberi fokus utama terhadap kawalan kes penipuan umrah dengan memperkenalkan syarat-syarat yang lebih ketat termasuk memperkenalkan lesen khas atau 'sub license' bagi syarikat pelancongan yang ingin menawarkan pakej umrah. Harga minimum pakej umrah juga telah ditetapkan pada kadar RM4900.

Selain itu, Kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah bagi menyampaikan maklumat berkaitan umrah agar kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan dan kes penipuan umrah dapat dikurangkan. Antara langkah tersebut adalah dengan membangunkan portal i-umrah bagi rujukan setempat berkaitan panduan pemilihan agensi pengelola umrah. JAWHAR telah membangunkan portal ini yang dapat dijadikan rujukan masyarat dan umat Islam di Malaysia.

FAQ - Majlis Kawal Selia Umrah